Teruskan di mana anda berhenti dengan Handoff pada Mac
Dengan Handoff, anda boleh memulakan sesuatu pada satu peranti (Mac, iPhone, iPad, atau Apple Watch) dan kemudian menyambungnya pada peranti lain tanpa hilang fokus pada perkara yang anda lakukan. Sebagai contoh, mula menjawab e-mel pada iPhone anda, kemudian selesaikannya dalam Mail pada Mac anda. Anda boleh menggunakan Handoff dengan pelbagai aplikasi Apple—contohnya, Kalendar, Kenalan, Pages, atau Safari. Sesetengah app pihak ketiga mungkin juga berfungsi dengan Handoff.
Untuk menggunakan Handoff, peranti anda mestilah menepati keperluan sistem Kesinambungan. Ia juga mesti mempunyai Wi-Fi, Bluetooth dan Handoff diaktifkan dalam Keutamaan Sistem (pada Mac anda) dan dalam Seting (pada peranti iOS dan iPadOS anda). Anda mesti mendaftar masuk dengan Apple ID yang sama pada semua peranti anda.
Petua: Semasa Handoff diaktifkan, anda boleh menggunakan Papan Klip Universal untuk salin dan tampal teks, imej, foto dan video merentasi peranti. Anda juga boleh menyalin fail antara komputer Mac.
Aktifkan atau menyahaktifkan Handoff
Nota: Jika anda tidak melihat pilihan Handoff pada peranti anda, ia tidak dapat beroperasi dengan Handoff.
Pada Mac anda: Pilih menu Apple > Keutamaan Sistem, klik Umum, kemudian pilih “Benarkan Handoff antara Mac ini dan peranti iCloud anda” (di bahagian bawah anak tetingkap). Untuk nyahaktifkannya, nyahpilih pilihan.
Pada iPad, iPhone, atau iPod touch: Pergi ke Seting > Umum > AirPlay & Handoff, kemudian aktifkan atau nyahaktifkan Handoff.
Pada Apple Watch: Buka app Apple Watch pada iPhone, pergi ke Jam Saya > Umum, kemudian aktifkan atau nyahaktifkan Dayakan Handoff.
Serahkan antara peranti
Daripada Mac anda ke peranti iOS atau iPadOS: Ikon Handoff app yang anda gunakan pada Mac anda muncul pada iPhone anda (di bahagian bawah penukar app) atau iPad atau iPod touch anda (di penghujung Dock). Ketik untuk teruskan bekerja dalam app.
Daripada peranti iOS atau iPadOS atau Apple Watch ke Mac anda: Ikon Handoff app yang anda gunakan pada iPad, iPhone, iPod touch, atau Apple Watch muncul pada Mac anda berhampiran penghujung kanan Dock (atau di bahagian bawah, bergantung pada posisi Dock). Klik ikon untuk terus bekerja dalam app.
Anda juga boleh tekan Command-Tab untuk bertukar ke aplikasi yang mempunyai ikon Handoff dengan mudah.