[go: up one dir, main page]

Garis panduan untuk penguatkuasaan undang-undang

 

Apakah itu X?


X ialah rangkaian maklumat global masa nyata yang membolehkan pengguna menghasilkan dan berkongsi idea dan maklumat dengan serta-merta untuk perbualan umum. X ialah jendela bagi peristiwa semasa di seluruh dunia dan perkara yang sedang menjadi perbualan orang ramai. Setiap peristiwa yang berlaku akan dilaporkan di X.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila lawati about.twitter.com. Untuk mengetahui tentang ciri dan kefungsian X yang terkini, sila lawati Pusat Bantuan kami.
 

 

Permintaan Maklumat Akaun

 

Apakah maklumat akaun yang X miliki?


Profil akaun X sering mengandungi foto profil, foto pengepala, imej latar belakang dan kemas kini status, yang dipanggil post. Selain itu, pemegang akaun mempunyai pilihan untuk mengisi maklumat lokasi (cth. San Francisco), URL (cth. X.com), dan bahagian "bio" ringkas tentang akaun tersebut untuk dipaparkan pada profil umum. Kami menawarkan kawalan privasi yang kukuh kepada semua orang. Sila lihat Dasar Privasi kami untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang data yang kami kumpulkan daripada/tentang pengguna.

 

Adakah X mempunyai akses kepada foto atau video yang dijana oleh pengguna?


X menyediakan pengehosan foto untuk sesetengah muat naik imej (seperti imej pic.X.com) serta foto profil akaun X, dan foto pengepala. Walau bagaimanapun, X bukanlah satu-satunya penyedia foto untuk imej yang mungkin muncul pada platform X. Maklumat lanjut tentang menyiarkan foto di X.

X menyediakan pengehosan video untuk sesetengah video yang dimuat naik ke X (seperti video pic.twitter.com) serta video yang disiarkan di Periscope. Harap maklum bahawa X bukanlah satu-satunya penyedia video untuk video yang mungkin muncul pada platform X.

Pautan yang dikongsi di X, termasuk pautan yang dikongsi dalam Mesej Langsung, akan diproses dan dipendekkan secara automatik kepada pautan https://t.co. Apabila anda melihat pautan https://t.co, ini tidak menunjukkan bahawa video atau imej tersebut dihoskan oleh X.

 

Apakah itu Periscope?

Periscope ialah perkhidmatan mudah alih kendiri yang membolehkan pengguna mencipta dan berkongsi siaran video dalam masa nyata. Sila lihat Pernyataan Privasi Periscope untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang data yang kami kumpulkan daripada dan tentang pengguna Periscope, dan lawati Pusat Bantuan Periscope untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Periscope. Pengguna boleh mendaftar untuk akaun Periscope tanpa mempunyai atau mengaitkan akaun X yang sepadan.

Baca arahan kami tentang cara mengesan nama pengguna Periscope.

 

Maklumat pengekalan data


X

X menyimpan jenis maklumat yang berbeza untuk pelbagai tempoh masa, dan mengikut Terma Perkhidmatan dan Dasar Privasi kami. Ekoran sifat masa nyata X, sesetengah maklumat (cth. log IP) mungkin hanya disimpan untuk tempoh masa yang sangat singkat.

Sesetengah maklumat yang kami simpan dikumpulkan secara automatik, manakala maklumat yang lain diberikan mengikut budi bicara pengguna. Walaupun kami menyimpan maklumat ini, kami tidak dapat menjamin ketepatan maklumat tersebut. Contohnya, pengguna itu mungkin telah mencipta profil palsu atau awanama. X tidak memerlukan pengguna nama sebenar, pengesahan e-mel, atau pengesahan identiti. Maklumat lanjut tentang dasar pengekalan X boleh ditemukan dalam Dasar Privasi kami.

HARAP MAKLUM: Sebak sahaja sesuatu akaun dinyahaktifkan, terdapat tempoh masa yang sangat singkat yang membolehkan kami mengakses maklumat akaun, termasuk post. Maklumat lanjut tentang akaun yang dinyahaktifkan tersedia di sini. Kandungan yang dialih keluar oleh pemegang akaun (cth. Post) pada dasarnya tidak tersedia.
 

Periscope

Periscope menyimpan jenis maklumat yang berbeza untuk pelbagai tempoh masa. Siaran dan maklumat siaran hanya boleh disimpan untuk tempoh masa yang singkat. Maklumat tentang ketersediaan siaran boleh ditemukan dalam Pusat Bantuan Periscope. Maklumat lanjut tentang dasar pengekalan kami boleh ditemukan dalam Dasar Privasi Periscope.

 

Pengawal Data


Untuk orang yang tinggal di Amerika Syarikat atau mana-mana negara lain di luar Kesatuan Eropah atau Kawasan Ekonomi Eropah, pengawal data yang bertanggungjawab ke atas data peribadi ialah X Corp. yang berpangkalan di San Francisco, California. Untuk orang yang tinggal di negara Kesatuan Eropah atau Kawasan Ekonomi Eropah, pengawal datanya ialah X International Unlimited Company yang berpangkalan di Dublin, Ireland.

 

Permintaan pemeliharaan


Sekiranya wajar di sisi undang-undang, kami menerima permintaan daripada penguatkuasaan undang-undang untuk memelihara rekod yang membentuk bukti yang mungkin berkaitan dalam tindakan undang-undang. Kami akan memelihara, tetapi tidak mendedahkan, petikan sementara rekod akaun yang berkaitan selama 90 hari sambil menunggu perkhidmatan proses undang-undang yang sah. 

Permintaan pemeliharaan, mengikut undang-undang yang berkenaan, hendaklah:

  • ditandatangani oleh pihak yang membuat permintaan;
  • mempunyai alamat e-mel rasmi untuk menerima balasan yang sah;
  • dihantar menggunakan kepala surat penguatkuasaan undang-undang dalam format yang tidak boleh diedit;
  • mengandungi @nama pengguna dan URL profil X subjek (cth. https://twitter.com/twittersafety (@twittersafety), dan/atau nombor pengenalan pengguna (UID) yang unik dan umum akaun X tersebut atau nama pengguna dan URL Periscope (cth. @twittersafety dan https://periscope.tv/twittersafety). Untuk mengesan UID X, lihat di sini atau untuk mengesan nama pengguna Periscope, lihat di sini.
     

Kami boleh memenuhi permintaan lanjutan bagi permintaan pemuliharaan, tetapi kami menggalakkan agensi penguatkuasaan undang-undang agar mendapatkan rekod menerusi saluran yang sewajarnya dalam tempoh yang ditetapkan kerana kami tidak dapat menjamin bahawa maklumat yang diminta tersebut akan tersedia.

Jika anda akan menyerahkan permintaan pelanjutan pemeliharaan, kami mengesyorkan agar anda menyerahkan permintaan itu sekurang-kurangnya seminggu (7 hari) sebelum penghujung tempoh pemeliharaan, untuk menyediakan masa pemprosesan yang mencukupi.

Permintaan pemeliharaan penguatkuasaan undang-undang dan kerajaan untuk maklumat pengguna boleh diserahkan melalui laman Penyerahan Permintaan Undang-undang kami (t.co/lr atau http://legalrequests.twitter.com). Sila serahkan pelanjutan pemeliharaan sebagai permintaan yang berasingan. Anda boleh menemukan arahan selanjutnya di bawah.

 

Permintaan untuk maklumat akaun X


Permintaan untuk maklumat akaun pengguna daripada penguatkuasaan undang-undang hendaklah dimajukan kepada X Corp. di San Francisco, California atau X International Unlimited Company di Dublin, Ireland. X akan memberi respons kepada proses undang-undang yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang yang berkenaan.

 

Maklumat peribadi memerlukan sepina atau perintah mahkamah

Maklumat bukan umum tentang pengguna X tidak akan dikeluarkan kepada penguatkuasaan undang-undang kecuali sebagai respons kepada proses undang-undang yang wajar seperti sepina, perintah mahkamah, proses undang-undang yang sah yang lain, atau sebagai respons kepada permintaan kecemasan yang sah, seperti yang diterangkan di bawah.

 

Kandungan komunikasi memerlukan waran geledah

Permintaan untuk kandungan komunikasi (cth. Post atau foto) memerlukan waran geledah yang sah atau yang setara daripada agensi yang mempunyai bidang kuasa yang sewajarnya ke atas X.

 

Adakah X memaklumkan kepada pengguna tentang permintaan maklumat akaun?

Ya. Bagi tujuan ketelusan dan proses hak, dasar X adalah untuk memaklumkan kepada pengguna (cth. sebelum pendedahan maklumat akaun) tentang permintaan untuk maklumat akaun X atau Periscope mereka, termasuk salinan permintaan tersebut, melainkan kami dilarang untuk berbuat demikian (cth. perintah di bawah 18 U.S.C. § 2705(b)). Kami meminta supaya sebarang peruntukan tanpa pendedahan disertakan dengan tempoh yang khusus (cth. 90 hari) yang dalam tempoh ini X dilarang daripada memaklumkan kepada pengguna. Pengecualian kepada dasar notis pengguna kami boleh merangkumi keadaan mendesak atau tidak produktif, contohnya kecemasan berhubung ancaman yang bakal berlaku terhadap nyawa; eksploitasi seksual kanak-kanak; atau keganasan.

 

Apakah butiran yang perlu disertakan dalam permintaan maklumat akaun?

Permintaan untuk maklumat akaun pengguna mengikut undang-undang yang berkenaan, perlu disertakan dengan maklumat berikut:

  • Sertakan @nama pengguna dan URL X akaun X subjek yang menjadi persoalan (cth. https://twitter.com/twittersafety (@twittersafety) atau nombor pengenalan pengguna atau UID yang unik dan umum bagi akaun;
  • Dan/atau sertakan nama pengguna dan URL Periscope yang sah (cth. @twittersafety dan https://periscope.tv/twittersafety). Dapatkan arahan tentang mengesan nama pengguna Periscope di sini;
  • Berikan butiran tentang maklumat khusus yang diminta (cth. maklumat pelanggan yang asas) dan kaitannya dengan penyiasatan anda;
    • HARAP MAKLUM: Sila pastikan bahawa maklumat yang anda cari itu tidak tersedia secara umum (cth. Post yang tidak dilindungi). Kami tidak dapat memproses permintaan yang terlalu umum atau tidak jelas.
  • Sertakan alamat e-mel rasmi yang sah (cth. nama@agensi.gov) supaya kami boleh menghubungi anda semula selepas menerima proses undang-undang anda;
  • Dikeluarkan dengan menggunakan kepala surat penguatkuasaan undang-undang.
     

Permintaan penguatkuasaan undang-undang dan kerajaan untuk maklumat pengguna boleh diserahkan melalui laman Penyerahan Permintaan Undang-undang kami (https://t.co/lr atau https://legalrequests.twitter.com). Anda boleh menemukan arahan selanjutnya di bawah.

 

Penghasilan rekod

Melainkan dipersetujui sebaliknya, kami menyediakan rekod yang responsif dalam format elektronik (iaitu, fail teks yang boleh dibuka dengan mana-mana perisian pemproses perkataan seperti Word atau TextEdit).

 

Pengesahan rekod

Rekod yang kami hasilkan ditandatangani secara elektronik untuk memastikan integriti rekod tersebut pada masa dihasilkan. Jika anda memerlukan deklarasi, sila nyatakan dalam penyerahan anda.

 

Pembayaran ganti kos

X boleh mendapatkan pembayaran ganti bagi kos yang berkaitan dengan maklumat yang dihasilkan menurut proses undang-undang dan seperti yang dibenarkan oleh undang-undang (cth. di bawah 18 U.S.C. §2706).

 

Permintaan pendedahan kecemasan


Selaras dengan Dasar Privasi kami, kami mungkin mendedahkan maklumat akaun kepada penguatkuasaan undang-undang sebagai respons kepada permintaan pendedahan kecemasan yang sah.

X menilai pendedahan kecemasan seperti ini mengikut kes sambil mematuhi undang-undang yang berkaitan. Jika kami menerima maklumat yang menyebabkan kami percaya dengan niat yang baik bahawa terdapat kecemasan yang mendesak melibatkan bahaya kematian atau kecederaan fizikal yang serius terhadap seseorang, kami mungkin akan memberikan sebarang maklumat yang tersedia yang diperlukan untuk menghalang kemudaratan tersebut.

 

Cara membuat permintaan pendedahan kecemasan

Jika terdapat kecemasan yang mendesak melibatkan bahaya kematian atau kecederaan fizikal yang serius terhadap seseorang dan X mungkin mempunyai maklumat yang diperlukan untuk menghalang perkara tersebut, pegawai penguatkuasaan undang-undang boleh menyerahkan permintaan pendedahan kecemasan melalui laman Penyerahan Permintaan Undang-undang (kaedah yang paling cepat dan paling efisien).
 

Sila sertakan semua maklumat berikut:

  • Petunjuk pada helaian pengenalan anda, yang mesti menggunakan kepala surat penguatkuasaan undang-undang, bahawa anda menyerahkan Permintaan Pendedahan Kecemasan;
  • Identiti orang yang menghadapi bahaya kematian atau kecederaan fizikal yang serius;
  • Sifat kecemasan tersebut (cth. laporan bunuh diri, serangan pengganas, ancaman bom);
  • @nama pengguna dan URL X (cth. https://twitter.com/XSafety (@twittersafety) bagi akaun subjek yang maklumatnya diperlukan untuk menghalang kecemasan tersebut;
  • Mana-mana post khusus yang anda ingin kami semak;
  • Maklumat khusus yang diminta dan sebab maklumat itu diperlukan untuk menghalang kecemasan tersebut;
  • Tandatangan pegawai penguatkuasaan undang-undang yang membuat penyerahan; dan
  • Semua butiran atau konteks lain yang tersedia berhubung keadaan tertentu.
 

Perjanjian bantuan undang-undang bersama


Dasar X adalah untuk memberi respons dengan segera kepada permintaan yang dikeluarkan dengan betul melalui perjanjian bantuan undang-undang bersama (“MLAT”) atau surat permintaan, selepas proses perkhidmatan yang betul. Apabila menyerahkan permintaan melalui prosedur MLAT, sila nyatakan dengan jelas bahawa permintaan itu datang melalui jalan MLAT dan sertakan nama negara asal.

 

Permintaan mengalih keluar kandungan


Cara meminta semakan terma perkhidmatan

Jika anda merupakan ejen penguatkuasaan undang-undang atau pegawai kerajaan dan inginkan agar kandungan yang mungkin menyalahi undang-undang dialih keluar daripada X kerana melanggar undang-undang tempatan, sila semak Peraturan X terlebih dahulu dan jika berkenaan, serahkan permintaan semakan terhadap kandungan itu untuk kemungkinan pelanggaran Terma Perkhidmatan kami. Gambaran keseluruhan tentang cara melaporkan kemungkinan pelanggaran Peraturan X dan Terma Perkhidmatan tersedia di sini. Tindakan melaporkan kemungkinan pelanggaran Terma Perkhidmatan kami akan memastikan permintaan anda dihalakan kepada pasukan yang sepatutnya dan diproses dengan segera. Kami mendedahkan data ini setiap enam bulan dalam Laporan Ketelusan X.
 

Cara menyerahkan permintaan undang-undang untuk menahan kandungan

Jika anda sudah pun menyerahkan permintaan semakan terhadap kandungan untuk kemungkinan pelanggaran Terma Perkhidmatan kami, dan telah menerima respons daripada X yang menyatakan bahawa kandungan yang dilaporkan itu tidak melanggar Terma Perkhidmatan kami pada masa ini, anda boleh menyerahkan permintaan undang-undang yang sah dan dalam skop yang betul untuk meminta agar kandungan itu ditahan melalui laman Penyerahan Permintaan Undang-undang kami. Ini ialah kaedah yang paling cepat dan paling efisien untuk menyerahkan permintaan bagi menahan kandungan berdasarkan undang-undang tempatan. Jangan serahkan permintaan untuk menahan kandungan jika anda belum melaporkan kandungan itu untuk disemak bagi kemungkinan pelanggaran Terma Perkhidmatan kami.

Selain mengenal pasti post atau akaun tertentu yang menjadi isu, sila kenal pasti juga undang-undang tempatan yang dikatakan telah dilanggar oleh kandungan yang dilaporkan itu. Jika anda mempunyai perintah mahkamah atau dokumentasi undang-undang berkaitan yang lain, sila lampirkan salinan semasa menyerahkan permintaan anda (lihat bahagian “Lampiran fail”). Sila berikan juga apa-apa konteks yang mungkin berguna, yang akan membantu dalam mempercepatkan semakan permintaan anda termasuk sebarang terjemahan dokumentasi undang-undang, jika dokumentasi itu bukan dalam bahasa Inggeris. Kami juga memerlukan alamat e-mel pegawai kerajaan atau penguatkuasaan undang-undang (cth. nama@agensi.gov) supaya pasukan yang sewajarnya dapat menghubungi anda semula jika perlu. Kami akan memproses permintaan anda dengan secepat mungkin tetapi harap maklum bahawa tindakan menghantar pendua mungkin akan melambatkan keupayaan kami untuk memproses permintaan anda dengan efisien.

X akan memaklumi pengguna yang terlibat dengan segera tentang permintaan undang-undang untuk menahan kandungan, termasuk salinan permintaan yang asal, melainkan kami dilarang untuk berbuat demikian di sisi undang-undang. Jika anda percaya X dilarang daripada memaklumi pengguna, sila nyatakan sebabnya dalam permintaan anda, termasuk petikan undang-undang yang berkaitan (jika berkenaan), dan/atau memuat naik sebarang dokumen yang menyokong larangan ini dalam bahagian "Lampiran fail", jika tersedia.

Pelapor kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang juga boleh meminta penahanan kandungan yang diputuskan sebagai menyalahi undang-undang dalam bidang kuasa mereka dengan menghantar salinan cetak permintaan anda kepada maklumat hubungan yang disenaraikan di bawah. Jika anda berpangkalan di negara Kesatuan Eropah atau Kawasan Ekonomi Eropah, sila hantar permintaan anda melalui mel kepada X International Unlimited Company di Ireland (lihat bahagian “Maklumat Hubungan” di bawah). Permintaan yang diserahkan melalui mel harus menjangkakan masa respons yang lebih lama. 

Dapatkan maklumat lanjut tentang dasar Sekatan Kandungan Peringkat Negara kami di sini.

 

Membantu pengguna X


Pengguna X yang berdaftar boleh mendapatkan muat turun maklumat akaun mereka, termasuk post yang disiarkan pada akaun X mereka. Arahan tentang cara pengguna boleh meminta maklumat itu tersedia dalam Pusat Bantuan kami.

Pengguna juga boleh mendapatkan log IP dan data lain secara terus melalui akaun X mereka, seperti yang diterangkan dalam Pusat Bantuan kami. Jika seseorang pengguna X telah mencuba, tetapi tidak berjaya, untuk memuat turun sendiri data yang mereka cari, sila minta pengguna itu untuk menghantar permintaan kepada X melalui borang privasi kami.
 

Isu lain

Kebanyakan isu boleh diselesaikan dengan meminta pemegang akaun X menyerahkan pertanyaan secara terus kepada kami melalui Pusat Bantuan kami. Maklumat lanjut tentang cara melaporkan pelanggaran tersedia di sini.
 

Pertanyaan umum

Pertanyaan umum daripada penguatkuasaan undang-undang atau pegawai kerajaan (yang tidak meminta data pengguna atau pengalihan keluar kandungan) boleh diserahkan melalui borang web kami.

 

Tempat untuk menyerahkan permintaan


Semua permintaan undang-undang, termasuk pemeliharaan, permintaan maklumat akaun (rutin dan kecemasan) dan permintaan pengalihan keluar kandungan boleh diserahkan menerusi laman Penyerahan Permintaan Undang-undang X yang tersedia di: t.co/lr atau legalrequests.twitter.com.

Jika anda mengalami isu dengan laman Penyerahan Permintaan Undang-undang kami, anda boleh meminta bantuan melalui borang web kami dengan memilih “pertanyaan lain” bagi jenis permintaan.  

Penerimaan surat menyurat melalui kaedah ini adalah untuk kemudahan sahaja dan tidak mengetepikan apa-apa bantahan, termasuk kekurangan bidang kuasa atau perkhidmatan yang sewajarnya.

Permintaan bukan penguatkuasaan undang-undang hendaklah diserahkan melalui Pusat Bantuan kami.

 

Maklumat hubungan


Butiran alamat kami ialah:

X Corp.
c/o Trust & Safety - Legal Policy
1355 Market Street, Suite 900
San Francisco, CA 94103

X International Unlimited Company
c/o Trust & Safety - Legal Policy
One Cumberland Place
Fenian Street
Dublin 2
D02 AX07
Ireland

Penerimaan surat menyurat melalui mana-mana kaedah ini adalah untuk kemudahan sahaja dan tidak mengetepikan apa-apa bantahan, termasuk kekurangan bidang kuasa atau perkhidmatan yang sewajarnya. Entiti kerajaan yang tidak menyerahkan permintaan undang-undang melalui laman Penyerahan Permintaan Undang-undang harus menjangkakan masa respons yang lebih lama.

Kongsi artikel ini